comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023: KKR jamin tiada kerja ganggu kelancaran trafik menjelang PRN

Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tiga kiri) ketika meninjau Projek LTU di Kilometer 251 (FT008) berhampiran jambatan Felda Chiku 3 di sini, semalam. – Foto: NSTP

GUA MUSANG: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan tiada kerja-kerja dijalankan yang boleh mengganggu kelancaran trafik lebuh raya sekurang-kurangnya seminggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Gua Musang menjadi antara pintu masuk ke Kelantan dan akan menerima kemasukan kenderaan yang tinggi sehari sebelum hari pengundian.

Oleh itu, KKR akan memastikan kerja-kerja pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di daerah ini tidak akan mengganggu aliran trafik menjelang PRN.

“KKR sentiasa memantau projek LTU yang membabitkan jarak perjalanan lebih 360 kilometer (KM) demi keselesaan pengguna.

“Saya percaya ramai perantau akan balik pada 11 Ogos dan kita akan cuba sedaya upaya tidak membabitkan kerja di atas jalan kerana tidak mahu trafik terganggu termasuk di kawasan lebuh raya.

“Semua lebuh raya kita minta tidak ada kerja yang boleh menyebabkan trafik tergendala sekurang-kurangnya seminggu sebelum PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Projek LTU di Kilometer 251 berhampiran jambatan Felda Chiku 3 di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, berdasarkan notis dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan berlaku gangguan trafik di KM251 berhampiran jambatan Felda Chiku 3 pada 1 hingga 2 Ogos ini.

Menurutnya, gangguan itu disebabkan kerja pemasangan lima rasuk jambatan baharu merentasi Sungai Chiku bagi projek LTU Pakej 2 Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Seksyen 2B : Paloh 2 Ke Bukit Sejuk.

“Sebagai alternatif pengguna boleh menggunakan jalan FT 1744 (Jalan Felda Aring) bagi laluan Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Pengguna juga disarankan untuk merancang perjalanan sebaiknya dan sentiasa mematuhi papan tanda lalu lintas dan kawalan trafik yang disediakan,” katanya.

Katanya, pengguna tidak perlu bimbang kerana proses pemasangan rasuk itu dilakukan kira-kira satu jam mengikut waktu ditetapkan dan bukannya waktu puncak.

“Pakej ini adalah antara projek yang sangat cepat dibina untuk kemudahan rakyat Pantai Timur khususnya dari Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang dan terus ke kawasan saya sendiri iaitu di Lipis, Raub dan Bentong.

“Kita sasarkan siap selewat-lewatnya awal 2026 membabitkan semua pakej dari Kota Bharu sehingga bertembung lebuh raya Karak Kuala Lumpur atau Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Bentong,” katanya.

Loading...
Terkini