Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Izham Hashim yakin pertahankan DUN Pandan Indah

Calon PH DUN Pandan Indah, Izham Hashim

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

AMPANG: Kedudukan beberapa kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Selangor yang bersempadan dengan ibu negara menjadikan ia satu cabaran bagi memastikan aspek infrastruktur setanding apa yang ada di Kuala Lumpur.

DUN Pandan Indah yang terletak di Ampang, contohnya memerlukan usaha menaik taraf rumah pangsa kos rendah yang telah berusia menjadi cabaran ekoran kepadatan kawasan kediaman dengan penduduk yang ramai.

Calon PH DUN Pandan Indah, Izham Hashim yang merupakan penyandang melihat usaha itu praktikal tetapi memakan sedikit masa untuk direalisasikan.

Jelasnya ketika kerja-kerja menaik-taraf dilakukan, penduduk yang terlibat perlu dipindahkan sementara ke lokasi yang sempurna.

Selain itu, beliau juga melihat pembangunan semula bangunan usang di Pandan Indah mampu menghidupkan kembali aktiviti ekonomi setempat.

“Bukan satu kerja yang mudah dan bukan kos yang bukan sikit walaupun dia bawah pelaporan kerajaan negeri, keceriaan kita ada bantu untuk mengecat ganti bumbung tapi tidak mencukupi.

Kita dah minta kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk bantu juga dan saya bagi keutamaan mana dulu dan ada yang dibuat secara bersama ada yang dibuat dulu ada yang memerlukan sedikit masa tapi dalam inventori saya,” katanya kepada Buletin TV3.

Selain soal infrastruktur dan kemudahan asas, cabaran utama bergelar wakil rakyat sebelum ini turut membabitkan aspek ekonomi dan pendidikan penduduk.

Ramai yang melakukan dua pekerjaan pada satu-satu masa bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Justeru pelbagai program berbentuk latihan dan keusahawanan dilaksanakan sebelum ini bagi membantu golongan terjejas dan tercicir.

“Dia masuk skill base punya market dan kita dah memang buat bawah program Kita Selangor, kita bekerjasama dengan syarikat besar ni dan kita kenalpasti kerja-kerja yang berpendapatan tinggi dan kita minta requirement dia jenis training yang boleh terima masuk,” tambahnya.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, Izham menang di DUN ini dengan majoriti lebih 16,000 undi.

Calon PN Dun Pandan Indah, Fazil Mohamad Dali.

PRN kali ini pula, beliau berdepan tiga lagi calon iaitu Fazil Mohamad Dali atau Ayahanda Cik Ton daripada Perikatan Nasional (PN); Lisa Redzuan, MUDA dan calon bebas, Sivaneswaran Ramasundram.

Loading...
Terkini