comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Gabungan PH-BN diyakini sapu bersih DUN Negeri Sembilan

LOKE dan Jalaluddin (kanan) pada sesi walkabout di Kampung Chennah. – Foto: NSTP

JELEBU: DAP melahirkan keyakinan bahawa tidak akan berlaku situasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan tergantung selepas 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ini disebabkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai persefahaman sekiranya menang di Negeri Sembilan.

“Kita menang saja antara BN dan PH, semua calon ini akan bersama menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

“Tidak ada soal bahawa kita akan menghadapi satu keadaan DUN tergantung seperti Pilihan Raya Umum (PRU) lalu di peringkat Parlimen.

“Ini sudah ada persefahaman. Kita menang saja kita dapat tubuh kerajaan negeri. Ini adalah Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas sesi Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat DUN Chennah, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan turut yakin bahawa gabungan itu akan mencapai sasaran menang 36-0 di Negeri Sembilan.

“Memang kita tahu ada beberapa kerusi agak panas. Tapi kalau kita gabungkan kekuatan itu, tak ada kerusi yang kita tak boleh menang di Negeri Sembilan.

“Sebab kalau BN dan PH kita campur perkongsian undi, memang melebihi,” katanya.

Calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chennah itu juga melihat bahawa gelombang Perikatan Nasional (PN) tidak sampai di Negeri Sembilan pada PRN kali ini.

“Negeri Sembilan tak ada gelombang daripada PN. Sebab lapan kerusi Parlimen (semasa PRU-15) Umno menang lima, PH menang tiga.

“Kalau katakan ada gelombang PN di Negeri Sembilan, mereka menang kerusi Parlimen. Tapi Negeri Sembilan tak ada.

“Umno Negeri Sembilan prestasi terbaik seluruh negara. Itu adalah realiti,” katanya.

Loading...
Terkini