Tumpuan :
Politik

PRN 2023: DUN Perai: Calon bebas bukan ancaman, yakin pengundi menerima muka baharu – Sundarajoo

Oleh: Selwam Arjunan

PERAI: Status sebagai calon muka baharu dan berdepan calon bebas yang letak jawatan dari parti yang sama sesekali tidak mematahkan semangat calon DUN Perai, Datuk Seri Sundarajoo Somu untuk meneruskan legasi Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan buat penggal ke-empat.

Sundarajoo, 61, yakin tekadnya untuk berkhidmat bakti kepada rakyat selepas meninggalkan kerjaya korporatnya yang berjaya akan diterima pengundi di kawasan berkenaan.

Katanya, bekas ahli DAP, David Marshel yang bertanding sebagai calon bebas tidak akan menjejaskan peluang kemenangannya kerana pengundi di kawasan berkenaan percaya calon DAP-PH dapat membantu rakyat dan membawa pembangunan secara konsisten.

“Bukan muka yang orang tengok, dia tengok parti. Bila mengundi untuk perseorangan, dia tak boleh tubuh kerajaan.

“Kalau saya menang sebagai bebas, saya tidak boleh buat apa-apa pun sebab saya hanya wakil rakyat biasa tanpa sokongan kerana ada batasan sumber.

“Tetapi kalau disokong oleh parti yang mampu membentuk kerajaan, yang juga sama dengan kerajaan pusat, saya yakin kita boleh melakukan pelbagai perkara yang diinginkan oleh rakyat,” katanya ketika ditanya mengenai peluang kemenangannya.

David Marshel, yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai selama 10 tahun mewakili DAP telah meletak jawatan dalam parti kerana tidak berpuas hati dengan barisan calon DAP di negeri berkenaan.

Ia termasuk Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof. Dr P.Ramasamy yang tidak dicalonkan semula di DUN Perai selepas mewakilinya selama tiga penggal.

“Semua ada hak untuk bertanding, menang kalah itu biasa.

“Tapi bagi saya, saya tidak tengok orang yang disebutkan tadi (David Marshel) sebagai satu cabaran. Mungkin ada sedikit (impak), tapi bukan besar.

“Sebab orang di sini sedar mereka selesa dengan kerajaan negeri. Bila mereka rasa begitu, kalau saya sendiri pergi sebagai calon bebas yang bagus, susah nak menang.

“Apa yang boleh dilakukan oleh calon yang menang adalah pertimbangan pengundi di sini, jadi saya yakin mereka akan pilih parti berbanding individu,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke Pasar Taman Chai Leng, di sini, dan mendekati pengunjung serta peniaga sambil diiringi Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, masuk hari ketiga kempen, beliau dapat merasakan penduduk semakin selesa menerima kehadirannya dengan menyuarakan aduan dan memberi kata-kata sokongan.

Ujarnya, beliau berkecimpung dalam dunia korporat selama 37 tahun, termasuk sebagai Ketua Pegawai Operasi di syarikat hartanah terkemuka selama 11 tahun.

Mengambilkira Perai sebagai kawasan bandar, beliau yakin pengalamannya akan membantu membangunkan kawasan berkenaan serta menyelesaikan masalah lama berlanjutan seperti masalah setinggan dan kesesakan lalu lintas.

“Anda semua tahu saya bukan ahli politik sebelum ini. Saya merupakan ahli korporat selama 37 tahun sebagai pemaju.

“Jadi saya tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah terbabit dan majukan kawasan ini keseluruhannya. Saya rasa tak susah sangat, boleh dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Sundarajoo berdepan pertandingan empat juru daripada calon Perikatan Nasional, R.Sivasuntaram; calon Muda, Viky, selain David Marshel sebagai calon bebas dengan logo pokok.

Loading...
Terkini