comscore
Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Calon muda nafas baharu politik

Foto NSTP

PETALING JAYA: Pemilihan calon usia muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri perlu dilihat dalam konteks lebih meluas oleh parti politik, selain menfokuskan untuk menambat hati pengundi muda.

Faktor peremajaan parti yang seterusnya membentuk generasi pemimpin pelapis berkualiti untuk diketengahkan sebagai pembuat dasar negara atau negeri perlu diambil kira.

FOTO : Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis

“Kalau kita mahu melihat wakil-wakil atau kelompok muda untuk berada sebagai pembuat dasar negara, yang bagi saya kita agak terkebelakang berbanding negara-negara lain. Ini bergantung kepada parti itu sendiri, bagaimana parti betul-betul mahu mengetengahkan calon muda yang lebih berwibawa, berkeyakinan dan memberi nafas baharu kepada politik negara.

“Ini merupakan faktor penting bukan hanya untuk PRN kali ini, malah dibawa ke PRU-16 pada masa akan datang,” kata Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis ketika ditemu bual dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) semalam.

Tambahnya, parti politik perlu memahami kehendak, hasrat dan persepsi pengundi bukan sahaja terhadap parti, tetapi juga keadaan dan perubahan semasa negara.

“Bila kita melihat semula dengan perubahan politik yang berlaku dalam negara, ini adalah refleksi kepada perubahan pengundi yang sangat ketara.

“Cabaran untuk parti politik semakin sukar kerana ‘selera’ pengundi semakin pelbagai, pengundi tidak lagi terikat dengan yang disebut sebagai keterikatan parti dan sebagainya.

“Jadi jika parti gagal memahaminya dan tidak membuat penstrukturan parti seperti peremajaan parti yang sering saya katakan, jadi ia kontra,” katanya

Dalam pada itu, demografi pada PRN kali ini yang menunjukkan lebih 50 peratus pengundi dalam kalangan orang muda, menjadikan pemilihan calon yang dapat membawa hasrat golongan itu amat penting.

“Pengundi muda ini masih lagi kita panggil sebagai ‘pengundi pasaran bebas’, mereka ini masih boleh dipengaruhi dengan apa juga cara dan cara untuk mendekati mereka juga sudah berubah.

“Jadi kalau kita bercakap tentang cara yang telah berubah, kita berpandangan yang individu yang datang dari generasi mereka lebih memahami bagaimana untuk merapati mereka,” katanya.

Bagaimanapun, pemahaman, peranan dan tanggungjawab terhadap proses pilihan raya harus diperkasa kepada pengundi muda supaya menjadi lebih rasional dan kritikal.

“Kalau perkara ini tidak diambil perhatian, jadi kita tidak memberi makna kepada pemerkasaan hak (pengundi muda) dan yang paling penting bagaimana pula nanti kualiti kepada individu yang menjadi pembuat dasar,” katanya.

Untuk perbincangan penuh – https://www.facebook.com/mhitv3/videos/293383673242530/

Loading...
Terkini