ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan mewajibkan Menteri Besar serta barisan EXCO mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua tahun sekiranya berjaya mengambil alih Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia antara empat teras utama manifesto ditawarkan PH-BN mencakupi setiap aspek yang dilihat memainkan peranan sebagai tunjang pembangunan Kedah.
“Kami juga akan melantik lebih ramai anggota jawatankuasa pilihan khas di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri), selain memastikan EXCO kerajaan negeri dibarisi sekurang-kurangnya dua wakil anak muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahdzir berkata, Kerajaan Perpaduan Kedah MADANI turut menawarkan rangka pengurusan ekonomi secara dinamik berdasarkan asas pertanian sedia ada, sumber tenaga terlatih dan sumber semula jadi untuk pembangunan ekonomi negeri yang lebih progresif serta berdaya saing.
“Bagi memastikan ketelusan ini sentiasa diutamakan, ketua pembangkang akan dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Kedah.
“Jentera pentadbiran negeri juga akan menyusun dan memperkemaskan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar lebih kompeten dan berdaya saing,” katanya.
Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah menjelaskan, generasi muda yang berdaya saing akan mendapat tempat cukup istimewa dalam Kerajaan Perpaduan Kedah MADANI.
BN-PH akan memperkenalkan Program Perumahan ‘Sewa-Untuk-Miliki’ dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), bagi memberi peluang kepada keluarga muda memiliki rumah pertama.
“Kerajaan Perpaduan Kedah MADANI juga akan mewujudkan Rumah Transit kepada anak muda yang layak dengan kadar sewa berpatutan di kawasan strategik.
“Turut dilaksanakan ialah program perumahan kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik untuk golongan B40 serta M40 di bandar atau pinggir bandar, berasaskan keperluan,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir yang calon BN DUN Pedu berkata, program Kasih Ibu Darul Aman juga akan diperkenalkan semula untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup melalui pembelian barangan keperluan asas bulanan dan rawatan kesihatan.
Program itu, turut menekankan bimbingan latihan kemahiran dan keusahawanan, selaras dengan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negeri itu.
“Tumpuan juga akan diberikan kepada usaha menggembleng tenaga bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyampaikan dasar bermanfaat kepada rakyat. Ini termasuk golongan pesakit terlantar dan kronik,” katanya.