Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Azmin yakin menang Hulu Kelang, PN bentuk kerajaan negeri

GOMBAK: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Azmin Ali yakin Perikatan Nasional (PN) akan dapat membentuk kerajaan negeri di Selangor.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, keyakinan itu bersandarkan daripada sokongan yang diraih semasa tempoh kempen termasuk ketika ‘grand finale’.

“Saya yakin akan beroleh kemenangan besar di Hulu Kelang dan banyak kerusi lain di Selangor. Ia sekali gus membolehkan kita membentuk kerajaan negeri di Selangor,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, hari ini.

Terdahulu, beliau ditemani isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin tiba di pusat mengundi berkenaan jam 8.50 pagi dan selesai mengundi jam 9.15 pagi tadi.

Azmin berkata, beliau gembira dan teruja untuk kembali bertanding di DUN Hulu Kelang yang juga kerusi pertama disandangnya pada pilihan raya 1999.

“Kali pertama saya mendapat mandat adalah pada 1999. Pastinya saya teruja untuk berkerja dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan ini. Sepanjang tempoh berkempen, saya amat optimis dan Insya-Allah kita akan membentuk kerajaan negeri baharu di Selangor, malam ini,” katanya.

Katanya, pengundi di Hulu Kelang mahukan perubahan keseluruhan pentadbiran di Selangor.

“Ini adalah yang saya terangkan sebelum ini iaitu ketidakpuasan hati rakyat bukan sahaja di Selangor tetapi juga di seluruh negara,” katanya.

Kerusi DUN Hulu Kelang (N.18) menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azmin dan Juwairiya Zulkifli daripada Pakatan Harapan (PH).

Juwairiya adalah penyandang kerusi DUN Bukit Melawati manakala Azmin adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, Azmin bertanding di DUN Bukit Antarabangsa dan menang kerusi itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Pada PRU-14, DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari AMANAH mewakili PH yang menang dengan majoriti 15,349 undi.

Loading...
Terkini