Tumpuan :
Politik

PRN 2023: Ayuh undi! 3,190 pusat mengundi dibuka mulai jam 8 pagi

PETALING JAYA: Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu secara rasmi bermula jam 8 pagi ini apabila 3,190 pusat mengundi dibuka.

Masa depan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, terletak di tangan 9.67 juta pemilih yang akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Di Terengganu, pemilih bukan sahaja mengundi untuk kerusi DUN, tetapi juga untuk satu kerusi Parlimen iaitu Kuala Terengganu kerana pilihan raya kecil kawasan itu diadakan serentak dengan pilihan raya enam negeri berkenaan.

Keterujaan rakyat di enam negeri yang terlibat untuk membuat pilihan bagaimanapun diharap tidak mengenepikan aspek keselamatan.

Bagi pengundi yang positif Covid-19, disaran berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian.

Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi juga dilarang memakai baju/topi/pelitup muka atau membawa material yang mempunyai nama lambang/ simbol/ gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

Selain itu, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah dilarang dan pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Pengundi diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Keputusan penuh setiap negeri dijangka diumumkan dengan yang paling awal dijangka diketahui kira-kira dua jam selepas pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang.

Berdasarkan prestasi sewaktu penamaan calon pada 29 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dapat dibuat lebih awal.

Secara keseluruhan, sebanyak 17,048 saluran mengundi disediakan di 3,190 pusat mengundi di semua 245 kawasan DUN di enam negeri itu, manakala untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 217 saluran mengundi disediakan di 41 pusat mengundi.

Selasa lalu, seramai 72,554 anggota tentera, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi pilihan raya di enam negeri terbabit manakala 1,286 lagi mengundi untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Persoalan yang berlegar kini adalah sama ada status quo akan kekal menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PAS terus memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Atau, adakah akan berlaku perubahan drastik di enam negeri selepas 14 hari berkempen oleh setiap parti yang bertanding?

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia enam negeri berkenaan mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya umum selepas memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing semasa pembubaran Parlimen pada 10 Oktober tahun lepas.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memilih Ahli Parlimen baharu diadakan serentak hanya dengan pilihan raya negeri Perak, Pahang dan Perlis pada 19 November 2022.

Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak pula telah mengadakan pilihan raya negeri masing-masing sebelum PRU15.

DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun, diikuti DUN Selangor dengan 56 kerusi pada 23 Jun.

Sementara DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DUN Kedah 36 kerusi dan DUN Terengganu 32 kerusi dibubarkan serentak pada 28 Jun, menjadikan DUN Negeri Sembilan dengan 36 kerusi sebagai yang terakhir dibubarkan selepas genap sepenggal penuh pada 1 Julai.

Pilihan raya enam negeri itu juga merupakan medan perang pertama yang menyaksikan kerjasama PH (Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah) dan BN (Barisan Nasional) untuk menghadapi cabaran daripada PN (Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan).

Loading...
Terkini