
LAHAD DATU: Parti Warisan setakat ini memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun pelbagai spekulasi dan khabar angin mengaitkan Warisan dengan parti lain sebelum ini, pihaknya lebih selesa bertanding sendiri.
Tiada sebarang kerjasama antara Warisan dengan mana-mana parti dan beliau yakin parti berbilang kaum itu mampu mengulangi sejarah Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pernah memenangi pilihan raya bersendirian pada 1970-an hingga 1990-an.
“Kita nyatakan tidak pernah ada perbincangan atau keputusan bergabung dengan mana-mana parti.
“Kita tawarkan keupayaan kita, mungkin kita tidak banyak duit, tapi kita pemimpin orang Sabah di sini, tidak kira bangsa, sama ada Kadazandusun Murut (KDM), Brunei, Kedayan, Bajau, semuanya di sini,” kata Ahli Parlimen Semporna itu selepas Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Daerah Kecil Tungku, di sini, malam tadi.
Beliau yang juga ADUN Senallang berkata, jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRN17, Warisan mampu membawa Sabah ke arah yang lebih baik.
Sebelum ini, Warisan dilihat cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO Sabah berikutan peranan kedua-dua parti itu dalam cubaan menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023.
Warisan memenangi 23 kerusi, jumlah paling banyak mengikut parti ketika PRN16 pada September 2020, sebelum sebahagian wakil rakyatnya keluar parti menyebabkan kerusi disandangnya kini hanya berbaki 14 kerusi, kebanyakannya di kawasan pantai timur Sabah.
PRN17 boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. DUN Sabah ke-16 akan tamat pada Oktober ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.