comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Pulai: Suhaizan iltizam tambah baik legasi Allahyarham

Foto Suhaizan Kayat.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat beriltizam menambah baik Program Rahmah dengan memberi fokus kepada keperluan sekolah, kaum ibu dan warga emas.

Beliau berhasrat untuk mengembangkan jenama itu dengan memberikan nilai tambah terhadapnya bagi membantu masyarakat Pulai dan seluruh rakyat Malaysia mengurangkan bebanan kos sara hidup.

“Nilai tambah yang ada lebih kepada makanan, jadi lepas ini mungkin lebih kepada yang lainlah selain daripadanya yang diperlukan oleh rakyat.

“Mungkin dalam konteks pendidikan, keperluan sekolah, keperluan kaum ibu, warga emas dan sebagainyalah kita akan tingkatkan lagi insya-Allah pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ‘walkabout’ di program Jualan Rahmah di Kempas Baru di sini, hari ini.

Katanya, lokasi program Jualan Rahmah itu juga dilaksanakan di kawasan terpilih bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan barangan keperluan asas.

Tambahnya, masyarakat sememangnya memerlukan program berkenaan untuk memenuhi tuntutan keperluan mereka dalam menghadapi kehidupan yang mencabar.

Program Jualan Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diterajui Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, menjadi legasi bermakna untuk rakyat tanpa mengira latar belakang.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi.

Allahyarham menang dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional yang memperoleh 31,726 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Lo Kah Yong, mendapat 20,677 undi.

Suhaizan bertekad akan memperjuangkan dan memberi perhatian terhadap isu serta permasalahan rakyat di Parlimen Pulai jika diberikan mandat Sabtu nanti.

Loading...
Terkini