Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri, DUN Pelangai bermula pagi ini dengan proses penamaan calon akan diadakan di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, Bentong, Pahang.
Pengumuman calon bertanding itu nanti, membolehkan 16,456 pengundi yang layak, membuat penilaian seterusnya memilih pada hari pengundian 7 Oktober.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang sebelum ini mengesahkan tujuh set borang pencalonan dijual setakat 18 September lalu.
Pusat penamaan calon akan dibuka jam 9 pagi ini, dan pemohon diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan.
Calon yang layak bertanding akan diumumkan pegawai pengurus pusat itu.
Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan calon mereka dalam majlis berasingan di Bentong, kelmarin, dengan kedua-duanya pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagi mempertahankan kubu kuat parti itu, BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, yang juga anak jati FELDA Chemomoi dalam DUN berkenaan.
Mengumumkan perkara itu, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menjelaskan bahawa pemilihan Datuk Amizar dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada PRU-15 lalu Datuk Amizar bertanding di DUN Ketari namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Thomas Su Keong Siong.
PAS pula menamakan semula, Naib Yang Dipertua Kawasan Bentong, Kasim Samat,63, sebagai calon, yang pernah bertanding di DUN Pelangai pada PRU15, namun tewas kepada penyandang DUN itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Turut menyatakan hasrat mencuba nasib pada PRK kali ini ialah Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli.
Media melaporkan beliau menjadi individu terawal ‘berkunjung’ ke pejabat SPR untuk membeli borang pada 29 Ogos lalu.
Kekosongan satu dari 42 kerusi DUN Pahang ini, susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, yang terbabit dalam nahas pesawat di Shah Alam, Selangor 17 Ogos lalu.
Pada PRU15, Datuk Seri Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri 2,031 undi dan calon PEJUANG, Isa Ahmad 65 undi.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH memperoleh lapan kerusi.
Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH.