GUA MUSANG: ‘Saya rasa berdebar dan seawal 5.30 pagi sudah bangun kerana bersemangat untuk keluar mengundi’.
Demikian kata pengundi dari Kampung Bertam Lama, Zakaria Mamat, 64, yang menjadi pengundi pertama di tempat mengundi Tabika Sri Bakawali di sini, hari ini.
Bapa kepada 14 orang anak yang tiba di tempat mengundi jam 7.45 itu berkata, dia sanggup tidak keluar menoreh getah hari ini kerana teruja untuk menyaksikan suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri.
“Saya teruja dan pada masa sama berdebar. Alhamdulillah menjadi pengundi pertama di sini dan selepas ini saya akan melihat suasana di sekitar kampung ini.
“Seramai 14 anak saya termasuk tujuh orang yang berada di luar kawasan juga turut pulang untuk mengundi di sini, hari ini,” katanya.
Beliau turut berharap calon yang dipilih nanti dapat menjalankan tugas dengan baik dan mampu membela nasib rakyat.
“Setiap kali mengundi saya tidak pernah lalai dan sentiasa melaksanakan tanggungjawab mengundi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.