comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Nenggiri: BN Kelantan cadangkan nama calon diumum lebih awal

Mohamed Khaled diirngi Ahmad Jazlan (tiga dari kanan) beramah-mesra dengan sebahagian pelajar tahfiz ketika hadir Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu. – Foto NSTP

MACHANG: Barisan Nasional (BN) Kelantan mencadangkan agar nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan diumumkan lebih awal.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia bagi memberi ruang kepada calon yang bertanding untuk turun ke akar umbi berjumpa dengan rakyat dan masyarakat.

Beliau juga akan berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Julai ini untuk untuk meminta supaya mengumumkan calon lebih awal, selain jika apa perkara yang diarahkan khususnya berkaitan dengan PRK Nenggiri.

“Biar saya jumpa Presiden terlebih dulu, nama calon pun kita tidak tahu, malah Presiden juga masih belum beritahu UMNO negeri siapa calon dan ia tentu sudah ada dalam pemikiran.

“Ada orang kata umum nama calon awal tidak elok sebab nanti orang cari ‘penyakit’ calon itu dan ini. Sebab mahu BN menang di PRK Nenggiri, jadi kita buat cara baharu. Saya akan minta dengan Presiden untuk mengumumkan calon lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2024 yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, malam tadi.

Ahmad Jazlan berkata, beliau yang diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Operasi Pilihan Raya akan memastikan kemenangan BN di PRK Nenggiri.

Terdahulu, media melaporkan Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju meletakkan calon BN pada PRK DUN Nenggiri 17 Ogos depan.

Ketua Sekretariatnya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang berlangsung pada 9 Julai yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri pemimpin tertinggi mewakili BN dan Pakatan Harapan (PH).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU apabila menyokong Anwar.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Loading...
Terkini