comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Kemaman: Calon BN santuni warga Felda

KEMAMAN: Warga Felda akan sentiasa menikmati pelbagai manfaat jika memilih kerajaan dan wakil rakyat yang dapat membela nasib mereka.

Menurut calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, pelbagai inisiatif telah digerakkan  bagi meningkatkan taraf hidup peneroka Felda sejak  BN menerajui pemerintahan negara dan misi itu kini diteruskan Kerajaan Perpaduan.

Dalam siri kempen menyantuni 500 peneroka di Felda Kerteh Lima, calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman itu menegaskan, warga Felda memerlukan sebuah kerajaan yang prihatin terhadap masa depan dan kehendak mereka seperti dilakukan Kerajaan Perpaduan, ketika ini.

 

”Anak–anak muda kita, kalau kita berwawasan, kalau kita berwawasan dan mempunyai satu keyakinan, apa juga boleh sampai, tapi untuk capai benda tu kita nak platform, apa platform yang perlu ada pada kita ialah satu peluang, dan ruang yang ada, kestabilan yang ada,” katanya.

Sebelum ini, jelas beliau, Kerajaan Pusat telah mengumumkan banyak inisiatif dan insentif bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta memelihara kebajikan warga Felda.

Insentif itu antara lain meliputi aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.

Sementara itu, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Raja Mohamed Affandi adalah calon yang tepat untuk membawa suara golongan peneroka ke Dewan Rakyat bagi  memastikan kesejahteraan penduduk  Felda terus terjamin.

”Orang Kemaman memerlukan khidmat orang yang full time, yang sepenuh masa, samada di Parlimen dan juga kepada rakyat, kalau sambil–sambil tak boleh, kita memerlukan orang yang boleh fokus kepada satu jawatan, yang tak perlu berkejar ke parlimen, dan berkejar menyelesaikan pelbagai masalah rakyat,” jelasnya.

PRK Kemaman pada 2 Disember depan menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

Raja Mohamed Affandi ditentang Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.

Dalam pada itu, beberapa peneroka yang ditemui menyedari pentingnya wakil rakyat mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan agar pembangunan kawasan didiami mereka berjalan lancar.

”Apabila kerajaan pusat tidak selari dengan suara kerajaan negeri, apa kerja pun agak sukar, agak sukar kita nak teruskan, di mana kalau hari ni kita tengok dari segi, apa kata, PM Sepuluh tu bahawa peruntukan kerajaan pusat tidak akan mengalir ke kerajaan negeri, dengan kata adanya pentadbiran negeri ni  di bawah paksi lain,” kata Tuan Hitam Tuan Dahlan.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi peneroka, Noraini Baharin.

” Sekiranya, kalau tak dok orang, yang kita nak mintak tolong, memang payah la kan, sebab kita ni mesti bersama dengan tu kan, kerajaan pusat, kalau kita tak bersama kerajaan pusat payah lah,”ujarnya.

Loading...
Terkini