Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
CHUKAI: Calon Barisan Nasional (BN), bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Bersara Tan Seri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, tiba di Pusat Penamaan Calon (PPC) jam 8.50 untuk menyerahkan borang pencalonan.
Beliau diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sebagai penyokong.
Ketika berarak di lokasi, beberapa pemimpin tertinggi dari beberapa parti Gabungan Pakatan Harapan turut hadir memberi sokongan.
Antaranya Naib Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan lain-lain.
Sementara itu, Calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman jam 8.45 pagi.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai.
Calon BN selesai menyerahkan borang penamaan calon jam 9.15 pagi tadi manakala Calon PAS jam 9.10 pagi.