comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Kemaman: BN sedang senaraikan calon terbaik – Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Oleh: Khairul Rizuan Azizan

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) sedang menyenaraikan calon terbaik bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang dijadualkan pada 2 Disember depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tokoh anak jati Kemaman akan diberi keutamaan tidak kira di peringkat nasional mahupun tempatan.

“Parti memperolehi berapa nama dan dijangkakan penyenaraian itu akan dibuat dalam beberapa hari dari sekarang.

“Dan semestinya kita akan mengambil tokoh anak Kemaman yang berada di peringkat nasional atau peringkat negeri untuk bertanding untuk PRK Kemaman” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (MAKSPEN) ke-16 di Putrajaya sebentar tadi.

Tambahnya, calon akhir akan diumumkan Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said beberapa hari sebelum Hari Penamaan Calon PRK Kemaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK Parlimen Kemaman di Terengganu pada 2 Disember dengan 18 November ditetapkan sebagai Hari Penamaan Calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini