KEMAMAN: Proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bermula hari ini dengan penamaan calon yang akan berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini.
Ketika ini, dua calon dinamakan parti masing-masing untuk merebut kerusi Parlimen Kemaman pada PRK yang akan berlangsung 2 Disember depan.
Barisan Nasional (BN) menamakan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon untuk merampas kerusi yang sebelum ini dikuasai PAS.
Perikatan Nasional (PN) pula menamakan Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui kenyataan memaklumkan setiap calon yang akan bertanding diberi tempoh sejam bermula 9 pagi ini untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing.
Senarai calon layak bertanding kemudian diumumkan Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.
Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu meliputi Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.
SPR menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember sebagai hari mengundi.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen Kemaman menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua calon lain ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan (PH) memperoleh 8,340 undi, manakala Rosli Ab Ghani dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendapat 506 undi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Terengganu mengalami hujan berterusan hari ini. – BERNAMA