MUAR: “Ini kali ke-10 saya mengundi sejak usia 21 tahun, tapi pilihan raya ini rasa macam ada kelainan jika dibandingkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu,” kata warga emas Jamilah Hussin, 66.
Jamilah ditemani ahli keluarga tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Batu dengan berkerusi roda .
Katanya, dia bangun seawal jam 6 pagi untuk bersiap ke pusat mengundi.
“Aura PRK kali ini sangat berbeza sebab itu saya teruja keluar mengundi awal. Kalau PRN atau PRU (Pilihan Raya Umum), rasanya tak semeriah ini,” katanya ketika ditemui sebaik selesai mengundi.
Menurut Jamilah, walaupun kudratnya tidak segagah sebelum ini, dia tetap keluar mengundi kerana sedar tanggungjawab memilih wakil rakyat adalah penting.
Seorang lagi pengundi, Mohd Asri Shahrum, 48, berkata setiap kali diadakan pilihan raya, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk keluar mengundi.
Dia memilih untuk keluar awal bagi mengelak sebarang kesulitan di pusat pengundian.
“Walaupun hanya PRK, tapi undi itu penting tidak kiralah anda memangkah sesiapa kerana itu hak masing-masing. Saya tiba di sini SK Seri Bukit Batu awal kerana ada banyak lagi urusan lain perlu diselesaikan,” katanya.
Tinjauan mendapati walaupun pusat mengundi dibuka jam 8 pagi, kebanyakan pengundi sudah beratur lebih awal.
Pengundi saluran satu hingga tiga antara yang paling ramai keluar mengundi setakat ini.