JOHOR BAHRU: Jumlah peratusan keluar mengundi menunjukkan momentum baik dengan 24 peratus di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai manakala 33 peratus di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram setakat jam 12 tengah hari.
Sehubungan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh optimis sasaran 70 peratus keluar mengundi bagi dua kawasan itu dapat dikekalkan.
Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan trend keluar mengundi pengundi golongan warga emas dan golongan muda serta pertengahan usia yang konsisten.
“Setakat jam 11 pagi ini peratusan keluar mengundi di Parlimen Pulai adalah 19 peratus manakala DUN Simpang Jeram pula 26 peratus.
“Seperti trend sebelum ini pengundi golongan warga emas dan pertengahan usia di saluran 1, 2 dan 3 keluar mengundi seawal pagi sejak pusat mengundi dibuka.
“Golongan muda pula kita jangkakan akan datang mengundi menjelang tengah hari dan petang.
“Pagi tadi momentum pengundi agak baik namun apabila hujan turun ia mula perlahan sebelum kembali meningkat selepas hujan reda,” katanya ditemui pemberita selepas meninjau Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah, hari ini.
Terdahulu, Abdul Ghani turut meninjau Pusat Pengundian di Sekolah Agama Bandar Johor Bahru.
Beliau menasihatkan pengundi supaya tidak menunggu pada saat-saat akhir untuk keluar mengundi.
“Walaupun kesemua pusat mengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dijadualkan ditutup tepat jam 6 petang, pengundi diharap keluar awal bagi mengelakkan cuaca hujan petang ini,” katanya.
Abdul Ghani memaklumkan keadaan kesemua 61 pusat mengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dalam keadaan terkawal dan tenang, setakat ini.
“Tiada kejadian luar jangka berlaku di kesemua pusat mengundi setakat ini dan kita harapkan ia akan terkawal dan berjalan lancar sehingga semua pusat mengundi ditutup nanti,” katanya.