Tumpuan :
Politik

PRK Johor: Rakyat Malaysia kerja di Singapura semangat nak mengundi

Pekerja Malaysia di Singapura, Paul Niew pulang untuk mengundi di SMK Taman Bukit Indah. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Pekerja am, Paul Niew, 45, seorang daripada ribuan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sanggup pulang sekejap untuk mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini.

Dia yang sudah 20 tahun bekerja di Singapura mengakui tidak mengambil masa lama untuk ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah.

“Saya dari tempat kerja di Singapura, tadi awal pagi sudah kerja, pulang semula untuk undi dan lepas ini saya pergi semula kerja di Singapura.

“Perjalanan lancar, tiada sesak, pemeriksaan imigresen pun tidak ambil masa lama. Saya lalu link kedua di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Kita sebagai rakyat Malaysia di mana-mana pun jika layak undi mesti mau (mahu) pergi undi,” katanya.

Pekerja Malaysia di Singapura, S.Rajasegaran (dua dari kiri) bersama isteri, N. Kogila (dua dari kanan) dan anak-anak mereka mengundi di SMK Taman Bukit Indah. – FOTO: NSTP

Semangat sama dikongsi, jurutera, S Rajasegaran, 57, yang sudah 35 tahun mencari nafkah di republik itu.

Malah, Rajasegaran turut membawa isterinya N Kogila, 54 dan dua anak mereka R Prateeven, 23 dan R Preetteeba, 19 yang turut mengundi di pusat sama.

“Kita sebagai warganegara Malaysia wajib tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya sudah undi sejak umur 21 tahun, walaupun bekerja di Singapura saya tetap akan pulang mengundi. Hari Sabtu seperti hari ini memang hari cuti bekerja, jadi saya tidak perlu ambil cuti lagi.

“Untuk saya tiada halangan kerana saya pasti akan ambil cuti pada hari undi, sama seperti Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Tetapi ada kawan-kawan yang masih bekerja di Singapura, yang mahu pulang tetapi tidak dapat cuti. Perkara itu biasanya kena uruskan awal dengan pihak majikan,” katanya.

Seramai 165,509 pemilih berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu Parlimen Pulai dan 40,301 pengundi lagi di DUN Simpang Jeram, hari ini.

Difahamkan, kira-kira 30 peratus pengundi dari dua kawasan ini adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Sebanyak 61 pusat mengundi  dibuka sejak jam 8 pagi tadi membabitkan 47 pusat mengundi dengan 294 saluran di Parlimen Pulai, manakala 14 pusat mengundi membabitkan 68 saluran di DUN Simpang Jeram, sehingga jam 6 petang ini.

Loading...
Terkini