JOHOR BAHRU: “Tidak sampai lima minit diperlukan untuk mengundi,” kata pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, P Andrew, 34.
Andrew yang juga jurusolek berkata, dia sudah membuat semakan awal di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengetahui saluran dan pusat mengundi.
Katanya, semakan dibuat sejak dua hari lalu bagi memudahkan proses pengundian pada hari ini.
“Saya sudah empat kali mengundi sepanjang hidup saya, kali ini lebih cepat rasanya, tidak sampai lima minit.
“Saya buat semakan awal menerusi sistem dalam talian sebelum ini, ia sangat memudahkan. Petugas SPR juga sangat baik dan membantu.
“Saya memilih untuk keluar mengundi sebelah pagi kerana pada sebelah petang saya bekerja,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati di sini, hari ini.
Pengundi muda, Tan Ye Sheng, 21, pula berkata, ini kali kedua dia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, selepas kali pertama, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
Tan yang masih belajar dalam bidang Sains dan Pengurusan Haiwan (Zoologi) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, cuti semester kali ini dimanfaatkannya untuk memilih wakil rakyat.
“Saya bekerja sambilan pada waktu petang dan datang pagi untuk mengundi. Proses pengundian tidak sampai lima minit, sangat sekejap.
“Masih muda tetapi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia perlu ditunaikan dengan keluar mengundi pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, warga emas, Ramli Mohamed, 65 yang juga pesakit angin ahmar tidak ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Anaknya, yang juga Polis Bantuan, Noor Asmawati Ramli, 35 berkata, ayahnya sudah lima tahun mengalami strok dan hilang keupayaan bercakap serta pendengaran kurang jelas.
“Alhamdulillah, walaupun tidak sihat, ayah dapat tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.