JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau kandungan dan kenyataan dibuat mana-mana individu berhubung isu 3R (agama, kaum, diraja) dalam pelbagai media sosial.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjangkakan isu itu akan terus diperkatakan walaupun di luar musim pilihan raya.
Justeru, pemantauan akan terus dilakukan supaya tidak ada mana-mana pihak mengeksploitasi isu itu demi kepentingan sendiri.
Beliau berkata, setakat ini, tiada kertas siasatan baharu dibuka terhadap mana-mana pemimpin politik lain berhubung isu 3R.
“Komen-komen 3R ini saya rasa akan berterusan, bukan sahaja ketika musim pilihan raya. Akan ada individu yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berhubung dengan isu 3R walaupun banyak kali nasihat serta amaran sudah diberikan.
“Saya lihat masih ada lagi yang mahu ambil kesempatan buat kenyataan berkait isu 3R ini. Isu ini akan berterusan dan pihak polis akan sentiasa pantau media sosial dan kenyataan-kenyataan yang dibuat,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Pengundian di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), hari ini.
Ayob Khan juga menasihatkan orang ramai supaya berfikir sebelum membuat sebarang kenyataan dan tidak menyentuh isu 3R bagi mengelakkan daripada diri ditahan dan disiasat.
”Jangan bila kita buka kertas siasatan, kita tahan, tuduh dan jatuh hukum baru timbul kesedaran,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan diteruskan.
“Kita sudah ambil kenyataan Abdul Hadi dan kertas siasatan kes sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, manakala Muhyiddin pula kita akan ambil kenyataan pada Selasa ini, di Bukit Aman.
“Muhyiddin kita buka dua kertas siasatan susulan isu fatwa haram mengundi calon PH dan kenyataan yang menyatakan orang Melayu akan hilang kuasa, manakala Abdul Hadi pula kertas siasatan dibuka kerana isu mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan,” katanya.