Tumpuan :
Politik

PRK JOHOR : ‘Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram perlu berada dalam kerajaan’ – Ahmad Maslan

Ahmad bersama Mohamad selepas Ceramah Khas Kelompok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram malam tadi. – Foto: NSTP

MUAR: Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram perlu berada dalam kerajaan dan jangan sesekali diletakkan di tempat pembangkang jika pengundi mahukan masalah mereka diselesaikan dengan mudah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jika pengundi memilih calon Kerajaan Perpaduan mereka memilih perpaduan, pembangunan serta keserasian antara kerajaan pusat dan negeri.

Bagaimanapun, beliau boleh merasakan pengundi di Pulai dan Simpang Jeram sangat mudah untuk membuat pilihan itu sebenarnya.

“Apabila kerajaan negeri dan pusat ditubuhkan, Pulai dan Simpang Jeram perlu berada dalam kerajaan bukan pembangkang.

“Jika pengundi menyokong PN (Perikatan Nasional) bererti mereka memilih pembangkang yang tak ada faedah apa pun,” katanya selepas Ceramah Khas Kelompok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram malam tadi.

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu dan calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abd Rahman.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sekiranya PN menang sama ada di Pulai atau Simpang Jeram, mereka tidak mampu menubuhkan kerajaan pusat dan negeri.

“Katakanlah mereka menang (yang saya kata tak boleh menang) di Pulai, daripada 148 kerusi parlimen, tolak satu, jadi 147, nak memerintah kena ada 112 kerusi (majoriti mudah), macam mana matematik mereka tu.

“Oleh itu, dalam tempoh lima atau empat tahun setengah lagi, kita kena buat pilihan tepat dengan menyokong Suhaizan Kayat (Pulai) dan Nazri (Simpang Jeram).

“Buat masa ini, mereka boleh bermimpi untuk empat negeri gelombang PN, tapi 10 negeri lain rakyat sudah senang memilih kerajaan bukan memilih pembangkang,” katanya.

Loading...
Terkini