JOHOR BAHRU: Hujan lebat tidak menghalang orang ramai keluar menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pagi ini.
Tinjauan di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah, di sini pagi tadi mendapati cuaca mendung sejak awal pagi disusuli hujan renyai bermula jam 9.30 pagi.
Beberapa petugas SPR turut dilihat membantu pengundi berdaftar yang tiba dengan memegang payung dan membawa mereka masuk ke pusat pengundian.
Seorang pengundi, Tamill Chilvan, 57 dari Taman Nusa Bistari berkata dia mengambil kesempatan untuk keluar mengundi awal kerana khuatir hujan akan turut berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi semalam.
“Saya sampai jam 9 pagi tadi dan bila dah selesai undi nak balik rumah namun tiba-tiba hujan lebat turun.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana telah selesai menunaikan tanggungjawab saya,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi SMK Taman Bukit Indah di sini siang tadi.
Terdahulu, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram hari ini melebihi 70 peratus.
Seramai 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi bagi Parlimen Pulai dan 40,301 pengundi di DUN Simpang Jeram akan memilih wakil rakyat baharu.
Pengundi tetap hadir ke Pusat Mengundi, walaupun ketika hujan lebat di SMK Taman Bukit Indah.
Video: NSTP pic.twitter.com/bkgwquJiDK
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 9, 2023