Tumpuan :
Politik

PRK Johor: Dakwat biru, inai merah, hiasi jari raja sehari 

Muhammad Nur Aizat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chai. – FOTO: NSTP

MUAR: Bagi seorang juruteknik, dia bukan sahaja gembira apabila tiga jarinya dihiasi inai berwarna merah sempena hari pernikahannya hari ini, jari telunjuknya yang ‘dihiasi’ warna biru juga membuatkan dia bangga kerana sempat menunaikan tanggungjawabnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Di sebalik kesibukan menjadi raja sehari, Muhammad Nur Aizat, 25, antara 40,379 pengundi berdaftar di Simpang Jeram walaupun letih dan sibuk dalam persiapan hari pernikahan dan persandingannya yang jatuh hari ini.

Sejurus selesai akad nikah, beliau yang lengkap berpakaian baju Melayu putih, terus bergegas ke pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chai, ditemani ibunya, Fauziah Pader, 44, dan ahli keluarganya.

Kesemua mereka, yang turut mengundi di lokasi sama, lengkap mengenakan pakaian tradisional, bagi menghadiri majlis persandingan yang akan berlangsung di sebelah pihak perempuan di Taman Seri Jeram, tengah hari ini.

“Pada awalnya saya rasa macam tak nak pergi mengundi sebab hari ini memang sibuk nak mengurus banyak benda, tetapi emak nasihatkan saya untuk pergi mengundi kerana tak ambil masa lama pun,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Muhammad Nur Aizat yang berasal dari Batu Enam, Bakri itu berkata, isterinya pula, Nurul Nafisah Mohamed Azizi, 20, yang dikenali sejak zaman persekolahan, mengundi di Sekolah Agama Bakri, Batu Enam.

PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan serentak berikutan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi berkenaan selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akibat pendarahan otak. – BERNAMA

Loading...
Terkini