comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Jepak: Jangan terpengaruh dengan gesaan tidak turun mengundi

BINTULU: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak diseru untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil PRK DUN berkenaan Sabtu ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengundi-pengundi di kawasan DUN terbabit seharusnya tidak terpengaruh dengan mesej tular di media sosial yang mendakwa tiada keperluan untuk mereka keluar mengundi kerana calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasti akan menang.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PRK Jepak menjelaskan dakwaan terbabit adalah sesuatu yang tidak benar kerana kemenangan calon sesebuah parti dalam pilihan raya ditentukan oleh jumlah kertas undi.

“Kalau kita tidak turun mengundi bagaimana mahu menang kerana dalam pilihan raya yang dikira itu kertas undi.

“Walau sebesar manapun sorakan kita tetapi kalau tiada yang turun mengundi, sorakan itu tidak akan dapat diterjemahkan kepada kemenangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Hilir Tatau, Kuala Tatau, Bintulu.

Awang Tengah dalam pada itu turut mengingatkan pengundi di Jepak untuk berwaspada agar tidak terperangkap dengan permainan kaki judi dan bookie yang dijangka akan menjadikan PRK Jepak untuk mengaut keuntungan peribadi.

Tegasnya, proses pilihan raya bukanlah satu perjudian sebaliknya ia merupakan satu proses bagi menentukan masa depan rakyat dan Sarawak secara bersama.

“Takkanlah kita hendak masa depan kita dipengaruhi oleh kaki-kaki judi ini, dan harus diingat perjuangan kita adalah untuk pembangunan kita keseluruhannya dan juga untuk masa depan kita.

“Jadi jangan terpengaruh. Saya jangkakan ini akan berlaku tapi jangan kita terpengaruh oleh kaki-kaki judi ini yang seolah-olah mempermainkan kita sementara mereka memperoleh keuntungan daripada pilihan raya ini,” katanya.

Tambah Awang Tengah, sepanjang proses berkempen  bagi PRK terbabit, belia mendapati sokongan kuat diberikan oleh penduduk Jepak terhadap calon GPS Iskandar Turkee.

Malah beliau katanya telah mengarahkan jentera pilihan raya GPS untuk menggerakkan penyokong dan memastikan mereka keluar mengundi pada hari pengundian Sabtu ini.

Ia bagi membolehkan setiap sokongan yang diberikan kepada calon terbabit dapat diterjemahkan kepada kemenangan kepada GPS, sekaligus membolehkan penerusan kesinambungan pelaksnaaan pembangunan di Jepak.

Loading...
Terkini