comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PRK DUN Sungai Bakap: Wanita hidap strok dibawa dengan ambulans ke pusat mengundi

NIBONG TEBAL: Seorang wanita yang mengalami strok separuh badan hingga tidak dapat berjalan, menggagahkan dirinya untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Rosnah Ramli, 50, dibawa dengan ambulans sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri, di sini, dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari pusat pengundian.

Katanya, dia tidak pernah sekali pun terlepas daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berdaftar sejak berusia 21 tahun.

“Sudah tiga tahun saya hidap strok bahagian kiri. Memang tak mampu untuk berjalan kerana bermula dari paras lutut akan rasa mencucuk.“Ini kali pertama saya menaiki ambulans untuk ke pusat mengundi. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini saya mampu berjalan perlahan-lahan dan datang dengan anak.

“Kali ini walaupun tidak mampu datang dengan anak atas faktor kesihatan, kami (anak beranak) cuba dapatkan bantuan untuk hadir ke pusat mengundi,” katanya.

Difahamkan, persiapan ke pusat mengundi menggunakan ambulans itu dibuat seminggu awal oleh anak Rosnah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memberitahu seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK bagi memilih wakil rakyat DUN Sungai Bakap.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan sengit antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini