comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Sungai Bakap: SPR keluarkan 128 kertas undi pos

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan 128 kertas undi pos kepada pengundi yang berhak untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, pada hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata pengeluaran kertas undi pos dilakukan oleh Petugas Pilihan Raya yang dilantik Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.

“Kertas undi pos yang telah dikeluarkan adalah terdiri daripada 120 undi pos Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya dan Anggota Polis), 5 undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan 3 undi pos bagi Kategori 1C (Agensi dan Organisasi).

“Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos.

“Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 2 Julai nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2).

Pengundi dikehendaki mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 6 Julai.

Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini