comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Sungai Bakap: Pusat pengundian ditutup 6 petang, proses kira undi bermula

NIBONG TEBAL: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berakhir selepas kesemua sembilan pusat pengundian yang dibuka bermula 8 pagi tadi, ditutup secara rasmi pukul 6 petang ini.

Pusat pengundian berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi dari 65 tempat mengundi atau saluran itu dibawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima dan membuka sampul undi pos PRK itu pada 4 petang sebelum proses pengiraannya bermula pukul 5 petang.

Setakat 4 petang tadi, sebanyak 57.7 peratus pengundi daripada 39,151 orang telah menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu DUN Sungai Bakap.

Secara keseluruhan, 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis, namun tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lepas setelah SPR mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini