comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Sungai Bakap: Pasukan khas pantau isu 3R

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, semua pihak berkaitan terutamanya parti politik dan calon bertanding dinasihatkan agar mengelakkan isu-isu berkenaan bagi memastikan tempoh kempen dan pengundian berjalan dengan aman.

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi memantau isu sensitif berkaitan Kaum, Agama dan Institusi Diraja (3R) sepanjang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula esok dengan proses penamaan calon.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, semua pihak berkaitan terutamanya parti politik dan calon bertanding dinasihatkan agar mengelakkan isu-isu berkenaan bagi memastikan tempoh kempen dan pengundian berjalan dengan aman.

Tegasnya, pematuhan itu mustahak bagi memastikan orang awam, terutamanya pengundi tidak berasa takut dan bimbang dalam menjalankan tanggungjawab demokrasi mereka.

“Sudah tentu kita ada pasukan khas pantau isu 3R dalam setiap ceramah dan perhimpunan yang diadakan. Kita beri tumpuan khusus dalam isu ini dalam PRK kali ini.

“Terutama sekali dalam isu berkaitan 3R ini, kita cuba elakkan daripada guna isu-isu berkenaan sebagai bahan kempen atau berkaitan untuk meraih sokongan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS, siang tadi.

Tambah beliau, pihak polis juga telah mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan untuk menegaskan pematuhan ketetapan itu.

“Kita telah minta kerjasama parti -parti untuk patuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti dipersetujui dengan pihak polis sebelum ini.

“Semalam Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) juga sudah jumpa wakil calon dan telah memberi sedikit sebanyak pencerahan tentang perkara yang dikatakan boleh dan tak boleh dilakukan dalam tempoh ini.

“Kita juga nasihat parti bertanding kemukakan permit lebih awal bagi pihak polis mengawal dan menyelia ceramah serta jamin keselamatan dan kelangsungan aktiviti berlangsung,” tambahnya lagi.

Penamaan calon PRK Sungai Bakap akan berlangsung esok, manakala pengundian awal pada 2 Julai dan pengundian pada 6 Julai.

Datuk Hamzah memaklumkan seramai 600 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk melancarkan proses penamaan calon esok, manakala 800 anggota akan bertugas sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian.

Kerusi Sungai Bakap diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Allayarham Nor Zamri Latiff, 56 tahun, meninggal dunia 24 Mei lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini