comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Sungai Bakap antara yang dibincang pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN – Zambry

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang berlangsung semalam, antara lain membincangkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menerusi kenyataan berkata, semua parti komponen dan Friends of BN memberi komitmen dalam mempersiapkan semua jentera parti bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK itu.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Datuk Seri Zambry berkata, BN memantau keputusan Bersatu melucutkan keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri mereka yang jelas dilihat sebagai muslihat politik berbanding keutamaan untuk mengekalkan kestabilan dan usaha memulihkan ekonomi negara.

“Mesyuarat juga memberi komitmen berterusan untuk BN membawa isu-isu rakyat yang memerlukan kesegeraan tindakan demi memelihara kesejahteraan hidup rakyat melalui langkah-langkah proaktif yang diambil bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Datuk Seri Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju untuk mengadakan beberapa program khas bagi memperkasakan hubungan parti dengan rakyat sebelum Sambutan Jubli Emas BN ke-50 yang bakal disambut pada hujung tahun ini.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini