comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Nenggiri: PH-BN fokus laksana penyasaran mikro bagi setiap pengundi

Oleh: Fatin Hanani Sahimi 

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Nenggiri mencapai kata putus untuk melaksanakan penyasaran mikro bagi setiap pengundi di kawasan itu.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk tidak terlalu fokus kepada program ceramah umum seperti dilaksanakan pada PRK yang lalu.

“Kita tidak mahu fokus kepada ceramah umum, ceramah mega seperti siri PRK yang lalu, fokus kita adalah ‘microtargeting’ kepada setiap pengundi.

“Pertama kita nak mengenalpasti ahli-ahli dan penyokong kita. BN ada senarai kita dan PH ada senarai mereka dan kita akan gabungkan supaya semua jentera dapat menumpukan kepada semua pengundi Nenggiri tanpa terlepas walaupun seorang.“ katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan BN-PH bagi PRK DUN Nenggiri di Menara Dato Onn, WTC di sini hari ini.

Tambahnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN akan melancarkan jentera pilihan raya BN Nenggiri pada 29 Julai ini di Pusat Operasi BN, Gua Musang, jam 2.30 petang.

Mengenai penglibatan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC dalam membantu PRK kali ini, beliau berkata semua parti komponen akan terlibat.

Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh BERSATU pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini