comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Nenggiri: BN akan umum calon lebih awal

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus Ke-36, di sini, pagi tadi.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA NERUS: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju dan memberi mandat kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, untuk membuat pengumuman calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan diumumkan lebih awal.

“Kami di biro politik telah menerima senarai pendek daripada Ketua Umno Bahagian Gua Musang yang menyalurkan nama itu pada perhubungan UMNO negeri.

“Biro politik telah buat keputusan dan kita menyerahkan nama pada Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk buat pengumuman awal”, katanya.

Pengumuman dibuat lebih awal bagi memberi ruang kepada calon yang bertanding untuk turun ke akar umbi berjumpa dengan rakyat dan masyarakat.

Jelas beliau lagi, pihaknya telah mengenalpasti calon BN yang akan bertanding itu.

“Dah kenal pasti dan telah buat keputusan, nama itu dah serahkan pada Datuk Ahmad Jazlan.

“Calon itu adalah anak tempatan yang telah disenarai pendek dari tiga orang dan ia adalah calon lelaki”, ujarnya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus Ke-36, pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian BERSATU apabila menyokong Anwar.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi, berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini