Oleh: Syafiqah Damanhuri
KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan lebih 60 peratus kadar peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata kadar Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, peratusan keluar mengundi adalah lebih rendah daripada itu.
“Kami telah memantau beberapa tempat pengundian pagi ini Alhamdulillah semuanya berjalan dengan tertib dan teratur.”
“Sehingga jam 11 tadi jumlah pengundi yang telah keluar adalah 23.39 peratus. Ini berbanding dengan PRN lepas pada pukul 11 lebih kurang 22.4 peratus.
“Ada peningkatan yang agak baik namun kita masih lagi mengharapkan pengundi-pengundi yang belum keluar mengundi dapat keluar lebih awal kerana ramalan Jabatan Meteorologi pada petang ini dijangka akan berlaku hujan.
“Kita harap pengundi yang belum undi dapat keluar awal menunaikan tanggungjawab.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini.
Ujarnya perkara itu bagi memastikan proses demokrasi dapat dijunjung dan berjalan dengan baik.
Pihaknya menjangkakan keputusan PRK DUN Mahkota dapat diumumkan pada jam 9 malam nanti.
Terdahulu Datuk Seri Ramlan meninjau ke beberapa pusat mengundi antaranya di Sekolah Agama Sri Kampung Tengah 1 dan Sekolah Agama Sri Kampung Tengah 2.
PRK DUN Mahkota memperlihatkan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.