Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Pusat penamaan calon dibuka

KLUANG: Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini dibuka 9 pagi ini.

Setiap parti dan individu yang berhasrat bertanding akan diberikan masa sejam bermula 9 hingga 10 pagi bagi mengemukakan borang pencalonan, sebelum calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala pengundian awal pada 24 Sept.

Kerusi DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, tentera dan pasangan (4,510), 401 polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

DUN berkenaan mula dipertandingkan pada 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN, dan kali terakhir dimenangi Sharifah Azizah.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini