Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Jangan pandang remeh mereka yang enggan balik mengundi

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KLUANG: Tidak boleh pandang remeh soal tidak mahu pulang mengundi.

Itu kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menasihati pemilih berdaftar menetap di luar Kluang, Johor untuk balik menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri DUN Mahkota pada Sabtu ini.

“Kadang-kadang kita lihat dalam sejarah pilihan raya peratus keluar mengundi berbeza-beza. Tapi pada lumrahnya kebanyakan kita tengok PRK akan kurang.

“Terutama pengundi ini kita tengok keputusan dalam PRN lalu tidak mengubah kedudukan kerajaan negeri.

“Kalau PRK Parlimen tidak mengubah kerajaan. Biasanya yang duduk jauh-jauh ini dia tak nak balik. Tapi kita akan cuba berusaha panggil mereka ini untuk balik mengundi.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan dan sesi bersama jentera di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menasihatkan jentera Barisan Nasional (BN) untuk terus berkempen dan memastikan pengundi keluar mengundi.

Ujarnya, faktor calon yang boleh diterima masyarakat sahaja tidak menjanjikan kepastian kemenangan.

Justeru, kerjasama jentera yang bagus diperlukan untuk meraih peluang cerah.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala Perikatan Nasional (PN) menampilkan bekas jurulatih dan pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini