Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: Jangan pakai, bawa barangan dengan logo parti ke pusat mengundi – SPR

KLUANG: Semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan agar tidak memakai baju, topi, pelitup muka atau membawa barang yang mempunyai lambang serta simbol parti atau calon semasa memasuki pusat mengundi esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata kegagalan pengundi mematuhi atau melanggar peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan mereka dilarang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam kerana sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peringatan itu juga terpakai kepada calon dan petugas pilihan raya serta meliputi sebarang bahan kempen yang membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

Selain itu, Ikmalrudin berkata pengundi juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit di saluran masing-masing sebaliknya perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Beliau berkata pelaksanaan tatacara pengundian boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya dan pengundi diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi mereka.

Ikmalrudin turut menasihati pengundi agar mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak dan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

“Pengundi juga diingatkan membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada kerani pengundian pertama (KP1) di saluran mereka bagi memudahkan semakan serta membantu kelancaran proses pengundian,” katanya.

Semakan awal maklumat pengundian seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat di portal semakan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi hotline SPR 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya. Majikan diingatkan supaya membenarkan tempoh munasabah kepada pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi,” katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini