Tumpuan :
Politik

PRK DUN Mahkota: 4,911 pengundi awal tunai kewajipan hari ini

Antara anggota tentera yang hadir untuk melakukan undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kem Mahkota Kluang, Johor. FOTO: NSTP

KLUANG: Seramai 4,911 pengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Daripada jumlah itu, 4,510 adalah tentera dan pasangan manakala bakinya ialah polis.

Proses pengundian berlangsung di tiga pusat mengundi awal iaitu Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim.

Suasana pada pagi proses undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kem Mahkota Kluang, Johor. – FOTO: NSTP

Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca di bandar Kluang adalah baik pada pagi ini sebelum ribut petir dijangka melanda di sebelah petang.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

Calon Barisan Nasional, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah dan Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar, 61, bergambar bersama ketika hadir menyerahkan kertas penamaan bagi Pilihanraya kecil Dun Mahkota (N29) di Pusat Penamaan Calon, Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor pada 14 September lalu. – FOTO: NSTP

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada Sabtu ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini