comscore
Tumpuan :
Politik

PRK DUN Jepak: BN sedia bantu GPS jika diminta

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan exco-exco luar bandar di Kuching

KUCHING: Barisan Nasional (BN) bersedia untuk membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak sekiranya diminta untuk berbuat demikian.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun yakin GPS memiliki kekuatan jenteranya untuk berhadapan dengan PRK terbabit, BN tetap besedia menawarkan bantuannya jika diperlukan untuk berbuat demikian.

“Jika kita diminta, kita akan membantu tetapi kita yakin GPS merupakan gabungan parti-parti Sarawak yang cukup kuat.

“DUN Jepak itu adalah kerusi GPS, maka kita yakin GPS mempunyai jentera mencukupi untuk memenangkan semula DUN Jepak, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan exco-exco luar bandar di Kuching.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari Pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November depan dengan 21 Oktober ditetapkan sebagai hari penamaan calon manakala 31 Oktober sebagai tarikh undi awal.

PRK DUN terbabit perlu diadakan selepas kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

Berdasarkan senarai daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 15 September lalu, DUN terbabit mempunyai 22,804 pengundi dengan 22,761 adalah pengundi biasa manakala 43 pengundi lagi adalah dari kalangan Anggota Polis.

Loading...
Terkini