Tumpuan :
Politik

PRK Ayer Kuning: BN dijadual umum calon seminggu sebelum hari penamaan

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk.

Oleh: Kumaran Rajamoney

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) dijadual mengumumkan calon pilihan parti itu seminggu sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di Perak.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kepimpinan parti sedang meneliti nama-nama yang telah dikemukakan UMNO bahagian Tapah.

“Kita menerima senarai enam nama, dan ia sudah disenarai pendek. Jumlahnya berapa belum boleh diumumkan lagi.

“Calon yang dipilih adalah individu yang memenuhi citarasa pengundi di Ayer Kuning mengikut komposisi kaum di sana, selain berkemampuan untuk memberikan kesinambungan perkhidmatan yang telah diberikan Allahyarham Ishsam Shahruddin,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan, tiada calon ‘payung terjun’ yang akan ditempatkan di kerusi DUN itu.

“Dari segi kerjasama dengan parti dalam Pakatan Harapan (PH), perbincangan diadakan secara tidak formal dan kira ada persefahaman. Begitu juga dengan MIC dan MCA yang sudah berbincang dengan ‘war room’ di peringkat nasional tentang gerak kerja yang dijalankan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Majlis Santunan Kasih Ramadan-Sumbangan Ramadan kepada Penerima-Penerima Warga Miskin di sini hari ini.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini susulan kematian penyandang kerusi DUN itu, Ishsham Shahruddin.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini