Tumpuan :
Politik

Polis Kedah Imbangi Penugasan Anggota Mengikut Keperluan Pada PRU15

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Polis Kedah akan mengimbangi penugasan anggotanya, dengan tumpuan di kawasan-kawasan penting pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan keperluan lebih 6,000 anggota keselamatan sepanjang tempoh PRU15 di negeri itu.

Bagaimanapun, angka ini katanya akan diperhalusi dan disokong oleh anggota dari agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Saya sudah arahkan Ketua Polis Daerah untuk berbincang semua dengan pihak SPR di kawasan masing-masing tentang pembahagian kawasan penugasan yang tidak memerlukan pasukan polis.”

“Contohnya di barung panas, tidak memerlukan penugasan polis secara menyeluruh, Kawasan 50 meter di kiri dan kanan boleh diserahkan untuk kawalan oleh pihak RELA dengan diketuai seorang pegawai Polis, ” katanya.

Jumlah maksimum anggota yang boleh digerakkan bagi penugasan PRU15 adalah seramai 3,600 orang.

Justeru, jumlah anggota sokongan telah dipohon dari Bukit Aman, selain bantuan dari pelatih Pusat Latihan Polis di Langkawi.

Kontijen Kedah katanya memerlukan tambahan 760 orang bagi penugasan ini.

Datuk Wan Hassan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra bersama Media di sini, hari ini.

Loading...
Terkini