Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BHARU : Polis Johor telah menyediakan pelan luar jangka bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri DUN Simpang Jeram di Muar, yang dijadualkan bermula 26 Ogos hingga 9 September depan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, antaranya pelan berkenaan menyediakan pasukan cantas khas bagi memastikan tiada elemen samseng yang boleh mengancam keselamatan pengundi dan unsur judi yang mampu mempengaruhi keputusan pada PRK itu nanti.
“Pihak PDRM telah bersiap sedia termasuk mensiapsiagakan team cantas khas untuk memastikan tidak ada elemen gangstrisme yang boleh menjadi ancaman kepada pengundi dan sebagainya begitu juga team cantas khas juga akan memastikan tidak ada elemen perjudian mempengaruhi keputusan pilihanraya itu nanti.” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan wakil media bagi membincangkan persiapan menghadapi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di sini, petang tadi.
Ujarya, Parlimen Pulai berkongsi kawasan iaitu sebahagian dalam Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) manakala sebahagian lagi dalam kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mempunyai jumlah penduduk lebih 300 ribu orang meskipun jumlah pengundi berdaftar hanya 170 ribu orang.
Justeru isu perkauman dan 3R menjadi amat sensitif dan semua pihak yang bertanding kelak perlu mengelak daripada menyentuh isu berkenaan.
Terdahulu Datuk Kamarul Zaman melepaskan konvoi lebih seribu 500 pegawai dan anggota polis kontinjen Johor yang bertolak ke Selangor bagi membantu proses pilihanraya di negeri itu yang akan diadakan Sabtu ini.
Beliau yakin kumpulan berkenaan dapat menterjemahkan pengalaman mereka bertugas di Selangor bagi melancarkan proses PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram bulan depan.
Datuk Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga akan menubuhkan sekretariat khas bagi memudahkan media mendapat maklumat terkini sepanjang tempoh berkempen kelak sekaligus mampu membanteras isu maklumat palsu yang disebarkan melalui media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab sepanjang tempoh PRK berkenaan.