Tumpuan :
Politik

PN Pulau Pinang umum 39 calon, kerusi Dominic Lau dikecualikan

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (bertopi) dan Pengerusi PN Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau antara yang turut hadir semasa sesi memperkenalkan calon PN di Markas Pas negeri di Pongsu Seribu di Kepala Batas, malam tadi.

Oleh: Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang mengumumkan calon bagi 39 daripada 40 kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan Gerakan bertanding 19 kerusi.

Calon bagi Dun Bayan Lepas tidak diumumkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semasa sesi memperkenalkan calon PN di Markas Pas negeri di Pongsu Seribu, di sini, malam tadi.

Artikel berkaitan: 6,000 anggota polis ditugaskan untuk PRN Pulau Pinang

Pada masa yang sama, nama Pengerusi PN Negeri, Senator Datuk Dr Dominic Lau, yang juga Presiden Gerakan juga tidak diumumkan, sekaligus menimbulkan tanda tanya berhubung pencalonan beliau.

Dominic turut hadir dalam majlis pengisytiharan calon itu dan memberikan ucapan sebelum pengumuman calon.

Sebelum ini, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN dikatakan akan bertanding di Dun Bayan Lepas, yang merupakan kerusi majoriti kaum Melayu.

Namun, sebahagian ahli PAS di Bayan Lepas telah mengadakan himpunan awam menuntut calon PAS diletakkan di kerusi berkenaan, dan tidak diberikan kepada Gerakan.

Sumber Gerakan memaklumkan, pencalonan Dominic akan diumumkan oleh Sekretariat PN pusat esok, namun ia tidak dapat dipastikan pada masa ini.

Sementara itu, Bersatu diumum akan bertanding di 11 kerusi, manakala PAS pula meletakkan calon di 10 kerusi.

Loading...
Terkini