comscore
Tumpuan :
Politik

PM Thailand bakal hadiri sidang kemuncak ASEAN-EU di Brussels

FOTO AFP

BANGKOK, Thailand:  Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium bersempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog ASEAN-EU bermula 12-15 Disember.

Pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Sidang Kemuncak ASEAN-EU adalah sidang kemuncak bersejarah kerana menjadi pertemuan sulung antara sembilan pemimpin atau wakil ASEAN dan pemimpin atau wakil 27 negara anggota EU di bawah rangka kerja ASEAN.

“Ini akan menjadi peluang penting buat pemimpin ASEAN dan EU untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan semasa, terutamanya berkaitan geopolitik, cabaran keselamatan, pemulihan ekonomi dan peralihan digital dan hijau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Prayuth juga dijangka menghadiri majlis Jamuan Tengah Hari Meja Bulat C-Suite, anjuran Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) yang juga dihadiri ahli EU-ABC dan eksekutif peringkat tinggi sektor swasta.

Pada majlis itu sektor swasta Eropah akan memberikan cadangan dan bertukar pandangan dengan para pemimpin mengenai isu berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Anucha berkata pada acara itu juga  Thailand akan menekankan me kerjasama untuk pembangunan sosioekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan yang dipacu model ekonomi bio-circular-green (BCG), yang selaras dengan inisiatif EU, Global Gateway bertujuan menggerakkan sehingga €300 bilion pelaburan dalam sektor digital, iklim dan tenaga, pengangkutan, kesihatan, pendidikan dan penyelidikan.

Pada sidang kemuncak itu, Prayuth akan menyokong peranan konstruktif EU di rantau ini untuk membina kepercayaan dan suasana aman yang kondusif kepada pemulihan ekonomi sambil menegakkan kepentingan ASEAN dalam pembangunan serantau.

“Thailand juga akan memajukan perkongsian strategik ASEAN-EU sebagai tenaga positif dan membina untuk kedua-dua rantau dan komuniti global serta Perkongsian Hijau ASEAN-EU,” kata Anucha.

Selain itu, Prayuth juga dijadual menyaksikan pemeteraian Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama Thailand-EU pada persidangan berkenaan. –  BERNAMA

Loading...
Terkini