SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan Kerajaan MADANI mempunyai kelebihan memenangi pilihan raya umum (PRU) sekiranya diadakan dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri berkata, keyakinan itu berdasarkan kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi.
“Kalau ada pilihan raya umum sekarang, saya lebih yakin menang.
“Ia memerlukan usaha yang tinggi untuk meletakkan agenda ekonomi pada situasi sekarang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata pihaknya yakin prestasi Kerajaan MADANI termasuk Jemaah Menteri masih boleh diperbaiki.
Beliau mengakui ada prestasi barisan menterinya yang cemerlang, namun ada juga masih berada di tahap sederhana.
“Adakah saya berpuas hati? Saya cuba sedaya upaya tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki. Apakah saya berpuas hari dengan menteri? Ada yang cemerlang ada yang sederhana, sama juga dengan Perdana Menteri,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang kes salah guna kuasa dalam kalangan anggota Kabinet.
Katanya, dalam pentadbiran Kerajaan MADANI yang sudah memasuki tempoh dua tahun, antara amalan lama yang tidak diizinkannya berlaku adalah membabitkan rundingan terus projek ataupun ‘kecurian’ komisen.
“Ia bukan sahaja soal menteri namun juga pegawai dan ke bawah, soal tatakelola dan pengurusan yang cermat ada kes lama yang boleh diselesaikan dan ada sebahagian belum selesai.
“Dua tahun lalu, ada kes Perdana Menteri mengambil dana untuk kepentingan peribadi dan keluarga.
“Kepentingan syarikat berbilion-bilion, kalau kita kekang dan perlu diperbaiki, langkah itu kita ambil,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pihaknya masih perlu menghormati proses undang-undang walaupun beliau mengakui wujudnya aspek penguatkuasaannya yang agak perlahan dalam kes tertentu.
Katanya, beliau turut membiarkan badan kehakiman kekal bebas, walaupun ada keputusan dalam kes tertentu yang beliau sendiri tidak bersetuju dengannya.
“Saya rasa pelik soal tokoh politik yang lantang di Parlimen pertahankan rasuah, kerana dia sudah tua dan ia kes lama… bagi saya penguatkuasaan agak perlahan, saya juga tidak sabar, mengapa lambat sangat atau remeh sangat.
“Tapi proses ini kita perlu hormati, kalau kebebasan badan kehakiman, itu bebas… kita setuju atau tidak setuju itu soal lain. Apakah saudara ingat saya setuju semua? Tidak tetapi kita perlu hormat,” katanya.
Mengenai penilaian yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan MADANI sebelum ini, Perdana Menteri berkata, pihaknya terbuka namun ada urusan prestasi yang dilakukan adalah sangat terbatas.
Mengambil contoh penilaian dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia tidak mengambil kira aspek rasuah, tatakelola dan pengurusan ekonomi yang lebih penting untuk dilihat.
Beliau berkata, agenda reformasi tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun atau dua tahun namun usaha itu sedang dilaksanakan kerajaan khusus dalam beberapa aspek termasuk pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Katanya, berdasarkan mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri berkata, beberapa idea diluahkan Jemaah Menteri antaranya membabitkan penambahbaikan dalam pengambilan tindakan terhadap kes tertentu.
“Melalui mesyuarat Kabinet semalam, ada menteri kata untuk diadakan ‘retreat’pada Januari bagi membuat penilaian kekuatan dan kelemahan kita… ada juga kritikan termasuk isu penangkapan, isu polis dan rasuah.
“Ada yang melahirkan pendapat bagi kes berat… kalau tidak panggil (tindakan) tidak boleh contohnya panggil pemimpin dajal, panggil ketua polis pelacur.
“Adakah kebebasan media atau dasar moral yang boleh dirujuk… jika ada tindakan penguatkuasaan yang disifatkan keterlanjuran, saya akui dan perlu diperbaiki,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.