Tumpuan :
Politik

Spekulasi Tengku Zafrul sertai PKR: Anwar sahkan ada perbincangan awal

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas hadir pada Kongres Khas PKR di Shah Alam, hari ini.

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

SHAH ALAM: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujud perbincangan awal berkenaan penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam PKR.

Katanya, PKR terbuka untuk menerima mana-mana individu bagi memberi sumbangan.

“Macam Tengku Zafrul pun dalam keadaan sama kita tidak pernah menafikan, dalam budaya kita tidak pernah mengajak orang tetapi sedia berbincang dan parti ini terbuka.

“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang boleh beri sumbangan tetapi dengan cara baik supaya hubungan dengan parti-parti termasuk UMNO, dan rakan-rakan baik.

“Selama ini dari segi dasar kalau hubungan dan pengalaman PH tidak galakkan, tetapi tak pernah halang malah kita hormat keputusan mereka dengan hubungan baik dengan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Kongres Khas PKR di Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan rundingan dikatakan giat dilakukan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.

Sumber dalaman UMNO Selangor dikatakan mendakwa, keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini