KUALA LUMPUR: PKR dijadual mengumumkan senarai calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), minggu depan.
Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli, berkata senarai calon PKR akan diumumkan melalui ceramah parti itu beberapa hari selepas mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khamis ini.
“Proses (memuktamadkan calon) berjalan baik dan PKR akan mengumumkan semua calon dalam satu ceramah besar beberapa hari selepas SPR bermesyuarat pada 20 Oktober ini,” katanya di Twitter, hari ini.
Sebelum ini, PKR memaklumkan sedang menapis dan memberi pemarkahan awal berhubung senarai yang berpotensi untuk bertanding pada PRU-15.
Senarai pendek calon PRU-15 bagi parti itu ditentukan bersama oleh satu jawatankuasa calon yang dipengerusikan oleh timbalan presiden dan empat naib presiden.
PKR menetapkan kriteria tertentu sebagai calon mewakili PKR pada PRU-15 iaitu 30 peratus diambil berdasarkan senarai kekananan dalam struktur parti dengan mengambil kira pembabitan dan tanggungjawab di peringkat pusat, negeri serta cabang.
Sebanyak 20 peratus pemarkahan pula membabitkan kekuatan jentera pilihan raya yang dibina dan prestasi kempen lapangan untuk memenangi pengundi berdasarkan data jumlah sukarelawan atau petugas dan kekerapan aktiviti lapangan di kerusi yang ingin ditandingi.
Dua puluh peratus lagi membabitkan keterampilan dan kesesuaian menjadi wakil rakyat dengan mengambil kira latar pendidikan, kelayakan, pengalaman profesional, serta kepakaran yang boleh menyumbang nilai tambah kepada keberkesanan sebagai wakil rakyat dan kewibawaan peribadi.
Sumbangan kepada masyarakat di luar politik dalam pelbagai bentuk termasuk kerja sukarelawan, pakar dalam industri dan bidang tertentu dan kepemimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyumbang sebanyak 20 peratus.
Baki 10 peratus pemarkahan pula membabitkan capaian media sosial untuk mengukur kemahiran berkomunikasi dan sebaran maklumat dengan orang ramai.-Berita Harian
#MandatRakyat