Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PETALING JAYA: Pucuk pimpinaan BERSATU hari ini tampil menafikan wujud krisis antara presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata laporan media yang memberikan gambaran dua pemimpin itu berselisih faham adalah berniat jahat.
“Sebagai orang dalam (laporan itu) amat tidak benar. Hubungan antara pemimpin dalam PN begitu utuh. Tidak ada banyak pemasalahan, parti begitu baik. Saya ingat tidak perlu dilayan fitnah dakyah datang dari sumber yang tidak dapat kenal pasti.”
Beliau berkata demikian kepada buletintv3.my sebentar tadi.
Beberapa laporan sebelum ini memetik sumber sebagai mendakwa Muhyiddin dan Hamzah tidak sehaluan mengenai hala tuju parti itu malah ada ura-ura untuk menggantikan Ahli Parlimen Larut itu sebagai ketua pembangkang.
Sementara itu Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata propaganda itu sengaja ditimbulkan beberapa pihak untuk menjejaskan imej Perikatan Nasional (PN).
“Ini adalah propaganda pihak lain untuk memecah-belahkan PN yang mana mereka tahu bahawa kekuatan PN, Bersatu, PAS dan Gerakan mampu mengubah lanskap pada PRN nanti,” katanya.