Tumpuan :
Politik

PH Umum Anwar Calon Perdana Menteri

 

Anwar (dua dari kanan) bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (kanan); Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (dua dari kiri); dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kiri) di Ipoh, hari ini.

IPOH: Pakatan Harapan (PH) secara rasmi mengumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pemilihan Anwar sebagai calon Perdana Menteri diputuskan selepas mengambil kira beliau sebagai calon yang mampu memulihkan negara daripada krisis ekonomi ketika ini.

Tegasnya, Anwar juga sudah berdepan pelbagai cabaran selama 11 tahun dan masih mampu bertahan, sekali gus membuktikan kemampuan beliau untuk memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran kerajaan itu.

“Perjuangan PH bukan soal meletak satu-satu tokoh untuk memegang jawatan ini. Jawatan ini datang dengan tugas dan tanggungjawab yang berat.

“Ekonomi negara merudum, inflasi, harga barang, derita rakyat. Ekonomi negara mesti diselamatkan melalui sebuah kerajaan yang bertanggungjawab di bawah kepimpinan seorang yang mampu membaiki ekonomi negara.

“Majlis Presiden PH melalui proses temu rapat di Port Dickson, Seremban dan sesi mesyuarat, membuat keputusan bahawa memasuki PRU15, PH menawarkan kepada rakyat Malaysia, jika mandat diberi kepada kita, calon Perdana Menteri kita ialah saudara Anwar Ibrahim,” katanya di Konvensyen PH di sini, hari ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini