Tumpuan :
Politik

PH sokong BN kekalkan kerusi DUN Ayer Kuning 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – Foto fail NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau telah menerima arahan daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memulakan persiapan gerak kerja bagi membantu BN.

“Memandangkan kerusi itu milik penyandang dari Barisan Nasional melalui wakilnya dari UMNO, maka Pakatan Harapan akan memulakan gerak kerja awal.

“Pagi tadi, saya menerima arahan langsung daripada Datuk Seri Anwar untuk memulakan persiapan dan mengatur gerak kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Dalam Negeri Bersama Warga kementerian di Kompleks Setia Perkasa, hari ini.

Tambahnya, PH Perak telah mengadakan pertemuan dan laporan awal menunjukkan bahawa parti itu akan berperanan sebagai pendokong dalam PRK berkenaan.

“Mengikut SOP biasa, pertama sekali, kita akan mengaktifkan jentera di peringkat pusat dan negeri. Kemudian, kita akan menentukan keperluan logistik serta mengagihkan tugas dengan matlamat mempertahankan kemenangan kerusi itu bagi BN kerana mereka adalah sekutu dalam Kerajaan Perpaduan  Perak.

“Kita masih berada dalam kerangka kerjasama perpaduan, bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi juga di peringkat negeri,” tambahnya.

Saifuddin menegaskan bahawa keputusan PH adalah jelas tanpa sebarang teka-teki mengenai minat terhadap kerusi tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa PH akan menjadi pendokong berdasarkan prinsip penyandang (incumbency), selaras dengan persetujuan yang dicapai dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

Loading...
Terkini